Sunday, February 1, 2009

Periksa Kenderaan Sebelum Berjalan Jauh

Habsah Dinin
ecah@bharian.com.my

Adakah amalan memeriksa kenderaan sebelum berjalan jauh menjadi tabiat setiap insan? Jawapannya, ada yang YA dan ada yang TIDAK. Bagi anda bagaimana? 

Pulang ke kampung sudah menjadi agenda tetap hampir seluruh warga kota menjelang Hari Raya Aidilfitri.Suasana beraya tidak lengkap jika tidak disambut bersama kedua ibu bapa dan sanak saudara kerana kemeriahan pasti lebih terasa apabila satu keluarga besar riuh rendah berkumpul bersama-sama.

Namun dalam kemeriahan dan keghairahan menyambut kedatangan Aidilfitri, setiap tahun berita dan angka kemalangan terus meningkat khususnya di jalan raya yang menjadi laluan penduduk ibu kota pulang ke kampung halaman mereka.

Kemalangan tidak berbau tetapi kita mungkin berupaya menyelamatkan nyawa diri sendiri serta mereka yang kita sayangi sekiranya sentiasa membuat persediaan secukupnya sebelum memulakan perjalanan jauh dengan kenderaan sendiri yang dipandu.

Anda dinasihatkan memandu kenderaan diselenggara dengan baik. Periksa sistem penyejukan, sistem brek, tahap cecair brek, tali sawat, tayar, minyak enjin, lampu dan pengilap cermin sekurang-kurangnya sekali setiap minggu.

Bagaimana caranya. Hantarlah kereta untuk dibuat pemeriksaan terperinci tahap keberkesanan brek, penghawa dingin, tayar dan enjin samada boleh bertahan untuk perjalanan jauh khususnya mereka yang pulang ke pantai timur, utara dan selatan Semenanjung yang terpaksa memakan masa berjam-jam lamanya.

Pemeriksaan enjin penting bagi mengelakkan kereta anda menghadapi masalah di jalan raya. Bayangkan jika tiba-tiba kereta meragam dalam perjalanan dan tersadai di tepi lebuh raya. entulah perjalanan anda terganggu dan 'mood' beraya juga terjejas.

Lebih kasihan lagi kepada mereka yang ada anak kecil, terpaksa berjemur di tepi jalan sementara menunggu kereta dibaiki atau ditunda ke bengkel oleh kenderaan penunda.

Sekiranya alat penghawa dingin tidak berfungsi atau rosak boleh dimaafkan lagi kerana anda dapat meneruskan perjalanan dan tiba di kampung tetapi jika enjin yang rosak, terpaksalah anda menanggungnya.

Oleh itu, pastikan sambutan raya anda tidak terjejas dengan membuat pemeriksaan secukupnya ke atas kenderaan anda.

Pastikan anda memilih bengkel yang dipercayai dan mampu memberi khidmat profesional yang terbaik. Berbelanja lebih sedikit apalah salahnya asalkan kenderaan anda menjadi lebih selamat dan mesra untuk dipandu bersama-sama keluarga.

Dengan itu, pemeriksaan kenderaan janganlah dipandang remeh dan jika berlaku kerosakan kecil hendaklah diperbaiki dengan segera. Jika ditangguh ia akan menjadi kerosakan yang besar dan memerlukan belanja yang lebih tinggi untuk diperbaiki. Nanti kita juga yang susah dibuatnya.